Sunday, 21 July 2013
Kembali kepada fitrah
Teks : Suka-suka sahaja
Assalamualaikum w.b.t
Salam Ramadhan diucapkan. Sungguh cepat masa berlalu, pejam celik sahaja sudah 2 minggu kita berpuasa, subhanallah.
Kembali kepada fitrah, entri ini hanyalah pendapat serta perkongsian saya sahaja, jika ada salah dan silap harap dimaafkan dan mendapat teguran yang membina.
-------------------------------------------------------------------------------------------
Sering juga saya diajukan soalan yang sama berkaitan untuk berubah kearah kebaikan atau lebih dikenali sebagai kembali kepada fitrah, suci daripada segala dosa-dosa lampau. Saya sendiri juga pernah mengajukan soalan sedemikian kepada diri saya sendiri.
Setelah mengkaji dan banyakkan pembacaan melalui buku mahupun internet, saya membuat kesimpulan sendiri kerana, setakat ini tiada yang sudi meluahkan pendapat dan idea serta panduan yang ada kaitan dengan penyucian diri.
Masing-masing sibuk dengan tugasan, maka saya mencari sendiri jawapan bagi persoalan yang sering berlegar-legar di dalam minda. Insya Allah pemahaman saya ini tidak terpesong daripada ajaran Agama Islam yang mulia ini.
--------------------------------------------------------------------------------------------
Langkah-langkah :
Permulaan sekali yang saya lakukan ialah, muhasabah diri, ingat kembali segala kesalahan yang pernah dilakukan, tujuan saya melakukan ini kerana, saya tidak mahu dosa-dosa lama datang kembali selepas saya bertaubat. Takut-takut nanti, saya ulang semula kerana kecewa dengan diri sendiri.
Pastinya ketika mengenang kembali dosa-dosa lama, hati kita akan berkecamuk dan sakit, pedih dan merasakan amat hina serta malu pada Sang Pencipta (Allah). Pada waktu itulah hati kita akan memohon ampun kepada Allah supaya kita diampunkan dari segala dosa yang telah dilakukan, yang kita sedari mahupun tidak.
---------------------------------------------------------------------------------------------
Kemudian segera mandi sunat [ bersihkan diri dari segala kotoran (daki,najis) ], selepas bersih baru mandi wajib. Selepas itu, potong kuku (jika panjang) dan pakai wangian yang dibenarkan [supaya kita mendapat aura ketenangan].
Sebelum saya sambung, saya ingin menyenaraikan Rukun Iman & Rukun Islam di bawah ini :
Rukun Iman [6]
1- Beriman kepada Allah.
2- Beriman kepada Malaikat.
3- Beriman kepada Kitab.
4- Beriman kepada Rasul.
5- Beriman kepada Hari Akhirat.
6- Beriman kepada Qadak dan Qadar.
Rukun Islam [5]
1- Mengucap Dua Kalimah Syahadat.
2- Menunaikan solat lima waktu sehari semalam.
3- Mengeluarkan zakat.
4- Berpuasa dalam bulan Ramadhan.
5- Menunaikan Haji bagi yang berkemampuan.
----------------------------------------------------------------------------------------------
Selepas mengetahui dan jelas dengan Rukun Iman dan Rukun Islam, saya membuat kesimpulan bahawasanya, Allah s.w.t adalah segalanya, maka bergantung harap sepenuhnya hanya kepada Allah.
Sebelum ini saya melebihkan manusia daripada Allah, kerana itu sering berduka lara dan bermuram durja. Kerana dahulu saya sering berkata kepada diri, "aku tiada kawan", "tiada yang pedulikan aku", "sentiasa dipinggirkan dan dihina serta dipersalahkan", "kalau begitu lebih baik mati sahaja".
Tetapi Allah lebih menyayangi kita, jadi Allah telah memberikan petunjuk serta peringatan kepada diri ini, cuma terkadang diri ini terleka dan buat endah tak endah.
Banyakkan membaca buku motivasi dan keagamaan, pasti hati kita akan lembut dan terbuka untuk tetap dan khusyuk dalam beribadat kepada Allah. Paling utama dan pertama sekali adalah dengan membaca ayat suci Al-Quran, baca yang ada tafsir, supaya kita lebih memahami ketika membaca.
Adalah lebih baik belajar tajwid, supaya sesi pembacaan kita tidak tersekat-sekat, kerana terkadang jika sering membaca dalam keadaan yang ragu-ragu tentang tajwidnya dan tersekat-sekat, pasti kita rasa rendah diri lalu tidak mahu membacanya lagi. Astaghfirullahalazim.
-----------------------------------------------------------------------------------------------
Kembali semula kepada langkah-langkah untuk kembali kepada fitrah.
Setelah tubuh badan kita serta pakaian [yang menutup aurat] telah bersih dari segala jenis kotoran dan najis, bersedia untuk bersihkan hati iaitu batin kita pula.
- Pertama yang saya lakukan ialah, mengucap Dua Kalimah Syahadat.
- Kedua, melakukan solat sunat taubat [memohon ampun kepada Allah]
> Memohon maaf juga kepada orang yang pernah kita lukakan/berdendam
- bersua muka, atau mesej, atau call, tetapi jika tidak dapat berjumpa, mohon kepada Allah supaya mereka memaafkan kesalahan kita.
- Ketiga, ganti solat yang telah kita tinggalkan
> Tetapi sebelum itu senaraikan dahulu solat yang pernah kita tinggalkan, sejak kita baligh, bila mula tidak solat.
- Jika terlampau banyak, ganti solat yang kita mampu sahaja, selebihnya kita bayar Fidyah.
Agama Islam itu mudah, hanya manusia yang menyukarkannya. Banyakkan menimba ilmu dalam keagamaan.
-------------------------------------------------------------------------------------------
Untuk permulaan perubahan, jangan mendesak dan memaksa diri, lakukan secara perlahan-lahan dan istiqamah [berterusan].
Tetapi jangan pula dijadikan alasan, bila boleh perlahan-lahan, maka menangguh. Itu sudah salah pemahaman. Kerana itu ada perkataan istiqamah.
Memang sukar, tetapi boleh. Yakin pada diri sendiri, usah pedulikan kata-kata hina dan cacian orang lain. Kerana yang ingin berubah dan disayangi Allah adalah diri kita sendiri.
Jika kita susah tiada yang akan membantu, hanya bergantung harap kepada Allah dan dalam pada masa yang sama kita berusaha untuk berubah.
--------------------------------------------------------------------------------------------
Seperti saya sendiri pada awalnya, terlalu sedih dan rasa malu untuk berubah kerana orang sekeliling terutamanya yang tersayang, langsung tidak memberi kata-kata semangat, malah mereka mengajak kita kepada dosa pula.
Jadi, daripada ada mereka di sisi kita untuk menambahkan dosa kita, lebih baik kita bersendirian dan hanya berserah kepada Allah.
Insya Allah, suatu hari nanti Allah akan pertemukan kita dengan mereka yang baik-baik, janji kita menjadi baik dahulu atau berubah kearah kebaikan.
---------------------------------------------------------------------------------------------
Dugaan untuk menjadi muslim yang sejati memang banyak dan amat perit, tetapi jika kita bersabar dan tetap bersyukur, insya Allah, Allah permudahkan segalanya. Jaminan di sisi Allah itu sudah pasti.
Dugaan-dugaan itu juga yang akan meningkatkan lagi iman kita kepada Allah, dan lagi Allah sayang seseorang itu, lagi banyak dugaan yang akan Allah berikan. Subhanallah.
Kerana Allah memberi dugaan kepada manusia mengikut kemampuan, Allah tidak akan memberikan dugaan itu jika kita tidak mampu menanggungnya, percayalah!.
-----------------------------------------------------------------------------------------------
Cukup sampai di sini sahaja, insya Allah akan disambung pada lain masa, sekian, assalamualaikum.
Labels:
Islam
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment